Ringkas-Penubuhan Belia PCS Jemaat Rukom Ulu


PENDAHULUAN[1]
1.     Siapakah Belia itu?
Ahli psikologi perkembangan Barat sebenarnya masih belum mencapai kata sepakat apabila menentukan golongan yang dikatakan remaja. Di negara kita, golongan berpendidikan tinggi lebih cenderung membuat sedikit perbandingan di antara remaja dan belia. Walaupun perbezaannya masih belum jelas tetapi ia dapat memberi gambaran perbandingan di antara dua istilah itu. Biasanya, remaja adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur belasan tahun.
            Secara amnya, golongan remaja berumur antara 11 hingga 19 tahun. Terdapat beberapa istilah yang sering dikaitkan dengan remaja. Antaranya ialah awal belia, anak muda dan orang muda. Istilah lain yang berkaitan pula digunakan bagi menerangkan sifat umum yang ada pada diri remaja itu sendiri, seperti baligh dan matang. Perkataan juvenil juga sering disebut kerana ia berkait dengan remaja. Kamus Dewan (2000:1121) menjelaskan, remaja bermaksud mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur berkahwin. Ada banyak pengertian yang dapat dihuraikan apabila perkataan remaja dibincangkan. Walau bagaimanapun, banyak pihak bersetuju, tahap remaja adalah tahap umur berkembang dan melibatkan sesetengah perubahan. Antara orang yang mula menghuraikan perkembangan ini adalah G. Stanley Haal (1846-1924).
            Beliau menyatakan, tahap remaja adalah tahap ‘ribut dan tekanan’ melanda para remaja, kesan daripada faktor biologi dan psikologi yang berubah. Beliau dapati pada tahap ini, remaja mengalami rasa kecewa, emosinya tidak stabil dan tidak dapat menyesuaikan emosinya. Belia juga menganggap proses berkembang yang berlaku pada individu remaja tidak dipengaruhi oleh aspek luaran mahupun persekitaran. Buktinya, ibu bapa sering bermasalah apabila berdepan dengan remaja. Perkara ini cuma satu pandangan daripada banyak pandangan ataupun teori yang dikemukakan oleh pakar psikologi.
            Robert Havighurst juga turut menghuraikan maksud remaja. Huraian beliau menarik kerana pandangan yang diberikannya bersifat elektif iaitu pandangan campuran yang meliputi biologi, sosiologi dan psikologi. Pandangan dan teori ini dikenali sebagai teori ‘tugas perkembangan’ (Developmental Task, Havighurst, 1972). Beliau menyatakan tahap remaja adalah tempoh individu menjalani beberapa tugas perkembangan.
            Menurut beliau, tugas perkembangan ini perlu bagi individu dan didorong oleh masyarakat. Tugas perkembangan ini adalah keterampilan ataupun kebolehan, pengetahuan, fungsi, dan sikap yang individu perlu ada pada sesetengah tahap hidup mereka. Semua ini dicapai melalui kematangan fizikal, harapan sosial dan usaha belia itu sendiri. Tugas yang dimaksudkan itu adalah (Havighurst, 1972):
  1. Menerima bentuk badan sendiri dan menggunakannya secara berkesan.
  2. Berusaha mencapai hubungan yang lebih matang dengan kawan sebaya daripada kedua-dua jantina.
  3. Berusaha mencapai peranan jantina sosial, lelaki ataupun perempuan.
  4. Berusaha mencapai emosi yang bebas daripada pengaruh ibu bapa dan orang dewasa.
  5. Menyiapkan diri supaya berjaya dalam ekonomi.
  6. Menyiapkan diri bagi tujuan berkahwin dan berkeluarga.
  7. Mahu dan mencapai sikap bertanggungjawab secara sosial.
  8. Memperoleh bentuk nilai hidup dan sistem etika sebagai panduan bertingkah laku dan mewujudkan satu ideologi untuk diri sendiri.
Istilah dan Definisi Belia menurut Kamus Dewan (1994), belia bermaksud muda belia, sangat muda, golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi.
            Takrif belia menurut Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia dalam kertas kerja “Cadangan Dasar Pembangunan Belia Negara” (1995), belia ialah orang yang berumur antara 15 hingga 40 tahun dengan alasan-alasan berikut:
  1. Ia adalah takrif Majlis Belia Malaysia 1985.
  2. Ia dianggap golongan yang sudah mencapai taraf matang yang memuaskan dan dapat menerima manfaat maksimum daripada rancangan-rancangan yang disusun.
  3. Ia adalah sebahagian besar daripada jumlah rakyat negara ini. Apa-apa usaha bagi membina masyarakat, meninggalkan kesan secara menyeluruh.
  

BAB 1
SEJARAH PENUBUHAN PERSEKUTUAN BELIA PCS DAN PENUBUHAN BELIA PCS JEMAAT RUKOM

1.   Sejarah Dan Perkembangan Persekutuan Belia Protestant Church In Sabah (PCS)[2], Dari Tahun 1970 Hingga 2002[3]
            Persekutuan Belia PCS Pusat telah ditubuhkan pada pertengahan tahun 1976. Pada mulanya ia hanya dikenali sebagai “Badan Belia Pusat”. Namun sebelum penubuhan badan ini, sebenarnya ada beberapa parokih yang terdahulu menubuhkan Badan/Persekutuan ini, iaitu parokih Bandar Kudat/asrama (sekitar tahun 1970), Parokih Dandun (1974), dan Parokih Tinangol (1974). Selepas penubuhan diperingkat pusat, ia diikuti pula oleh Parokih Sikuati (1976), Parokih Batition (13.6.1977), Parokih Bombong 4 (21.10.1977), Parokih Pantai dan Kudat Selatan.
            Pada awal penubuhan persekutuan ini, aktiviti Belia sangat ringkas sesuai dengan keperluan dan keupayaan waktu itu. Aktiviti utama adalah belajar lagu-lagu rohani dan pembacaan ayat-ayat Alkitab sebelum kebaktian minggu bermula. Aktiviti ini dimulakan di Taman Gereja Pusat oleh para penghuni asrama yang kemudiannya dikembangkan ke jemaat-jemaat PCS oleh mereka yang menyertai rombongan kebaktian hari Minggu bersama para pendeta/pelayan firman. Selain daripada itu, gabungan kebaktian bersama belia BCCM juga diadakan. Para Belia PCS dan BCCM mengadakan persekutuan kebaktian ini secara bergiliran di gereja.
            Tidak lama selepas itu, rangkaian Persekutua Belia PCS dan bidang aktivitinya semakin kompleks. Sebelum ini, badan/jawatankuasa persekutuan hanya terdapat di peringkat pusat dan parokih tetapi lama-kelemaan menyeluruh ke peringkat lebih kecil iaitu peringkat jemaat. Pada masa itulah badan/jawatankuasa Belia Pusat mewujudkan beberapa cabang pelayanan iaitu agama, lagu pujian, sukan, kebudayaan dan bahasa
            Konvensyen pertama Persekutuan Belia Pusat telah diadakan pada hujung tahun 1976. Ia dihadiri oleh belia dari seluruh PCS terutamanya beberapa parokih terdahulu menubuhkan persekutuan belia ini. Pada waktu itu, Pengerusi Belia Pusat digelar sebagai Presiden Belia. Selain itu, umur yang ditetapkan dan diakui sebagai belia tidak mengira jantina ialah antara 12-35 tahun. Namun, pada tahun 1996 perwakilan Konvensyen Umum telah meluluskan agar umur maksima dinaikkan sehingga 40 tahun. Selepas itu, pada tahun 2002 perwakilan Perhimpunan Agung Belia PCS sekali lagi bersetuju agar umur maksima belia dinaikkan ke 45 tahun. Kenaikan umur maksima ini adalah didasarkan kepada situasi dan keperluan gereja masa kini.
            Dari awal penubuhan tahun 70-an dibandingkan sekarang ada banyak perubahan dan juga perkembangan yang berlaku antaranya adalah sistem pentadbiran. Jika dahulu sistem pentadbirannya begitu ringkas tetapi kini lebih menyeluruh dan bertenaga. Ini termasuklah pengwujudan unit-unit yang lebih lengkap seperti Unit Oikumene dan Protokol, Unit Pembangunan Staff dan Keahlian Belia, Unit Pengurusan dan Pentadbiran, Unit Penerbitan dan Dokumentasi, Unit Pengurusan Akaun, Unit Kerohanian, Unit Pendidikan Alkitab dan Pelayanan Remaja, Unit Perancangan Ekonomi, Unit Sukan Rekreasi, Unit Pendidikan Akademik dan Pembangunan Sumber Manusia dan Unit Data Maklumat. Setiap unit ini diletak dibawah seseorang ahli dalam Jawatankuasa Belia Pusat (EXCO). Program Belia Pusat dirancang menurut unit-unit ini. Walau bagaimanapun pengwujudan unit-unit ini akan sentiasa mengikut keperluan gereja dan kelompok sasaran khususnya PCS Pusat, Persekutuan PCS Wilayah (4 Wilayah), Persekutuan Belia PCS Parokih (22 Parokih), Persekutuan Belia PCS Cawangan (22 Parokih) dan Persekutuan Belia PCS (332 jemaat). Setiap persekutuan ini adalah dikenali oleh satu jawatankuasa yang terdiri daripada sukarelawan-sukarelawati dalam gereja.
            Dalam Konvensyen Belia PCS kali ke-12 yang berlangsung pada 11-13 Mei 1998, satu lagi ketetapan telah diluluskan oleh perwakilan konvensyen, iaitu 2 perhimpunan utama yang sedia ada harus diberi bidang kuasa atau fungsi masing-masing. Perhimpunan tersebut ialah “Konvensyen Umum” yang berorientasikan pemantapan rohani belia dan “Perhimpunan Agung” (sebelum ini disebut “Mesyuarat Agung”) yang akan menentukan hala tuju Persekutuan Belia PCS atau berorientasi pentadbiran. Langkah ini bertujuan agar sesuatu perhimpunan yang diadakan oleh Persekutuan Belia Pusat lebih terarah.
            Ekoran daripada itu, beberapa pindaan Perlembagaan Belia (kini disebut “Peraturan Belia”) telah dibuat. Sementara itu Perhimpunan Agung yang dimaksudkan telah berlangsung sebanyak 2 kali. Perhimpunan Agung ini dihadiri oleh para pemimpin belia mulai dari pusat, wilayah, parokih dan jemaat.
            Hasil rayuan para pemimpin belia dan keprihatin EXCO PCS, hasrat Belia PCS sejak tahun 1992 untuk mendapatkan pekerjaan penuh masa hampir berjaya setelah EXCO PCS bersetuju menempatkan seorang “Pengarah Belia” pada tahun 2000 sebagai tenaga tambahan kepada jawatankuasa Belia Pusat dalam pelayanan Belia PCS yang kini semakin mencabar, rumit, kompleks dan tersebar luas di seluruh Malaysia. Kini perwakilan Perhimpunan Agung Belia PCS yang kedua sekali lagi membuatkan resolusi bahawa seorang pekerja penuh masa harus duduk dalam Persekutuan Belia PCS agar pelayanan kepada golongan ini lebih berkesan. Hal ini sedang diusahakan oleh pihak pentadbiran belia pusat yang ada sekarang.
            Dalam dekad 21 ini, sikap golongan belia terhadap gereja nampaknya semakin positif dan bertanggungjawab serta berkerinduan besar kepada Allah. Bahkan kita dapat saksikan suatu kesedaran tinggi atau kebangunan rohani yang meluap. Walau bagaimanapun cabaran terbesar kepada golongan ini ialah pengaruh globalisasi dan ternyata memang ramai yang jatuh. Persekutuan Belia PCS melihat fenomena ini sebagai suatu hal yang sangat serius dan perlu dimenangkan. Adalah menjadi harapan yang besar agar cogan kata “Belia Generasi Penerus Gereja” akan menjadi kenyataan yang cemerlang. Amin!

2.   Sejarah penubuhan Dan Perkembangan Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu Dari Tahun 1974 Hingga 2016, Secara Ringkas
Pada tahun 1974, adalah tahun dimana parokih Dandun menubuhkan Persekutuan Belia. Namun begitu, Persekutuan Belia ini tidak mendapat sambutan yang ramai terutamana jemaat-jemaat yang ada di sekitar parokih Dandun. Ramai yang belum mengetahui apa sebenarnya peranan Belia dalam gereja.
            Syukur puji Tuhan, selepas tarikh penubuhan tersebut hampir semua jemaat yang terdapat dalam parokih Dandun mahu tubuhkan persekutuan Belia di jemaat masing-masing, termasuklah jemaat PCS Rukom Ulu. Hal ini kerana, mereka mulai sedar bahawa Muda-Mudi sangat penting dan perlu di didik dari kecil lagi, bak kata orang tua-tua “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
            Penubuhan Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu tidak dapat dipastikan dengan tepat bila tarikh dan tahun penubuhannya, tetapi yang pastinya Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu ditubuhkan selepas tahun 1974.
            Pada awalnya persekutuan Belia Rukom digabungkan dengan Persekutuan Belia Rinasuk dan Persekutuan Belia Longom. Nama gabungan tiga jemaat ini dipanggil sebagai Cawangan Rinasuk. Rasional bagi pengabungan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan beban jemaat yang masih lemah dalam pengurusan gereja. Belia Cawangan Rinasuk ini dipimpin oleh En. Farchis Tiying.[4]  
            Pada tahun 2002 Belia Cawangan Rinasuk telah di bubarkan hal ini kerana setiap jemaat masing-masing mahu berdikari. Sejak dari tahun itu Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu berjalan dengan sendiri. Setiap program dan aktiviti tahunan diuruskan oleh ketua belia dan juga jemaat. Syukur dan puji Tuhan dari tarikh penubuhan sehinggalah sekarang peningkatan dari segi kerohanian dan juga kepimpinan belia semakin positif.                                                                                                                                    


BAB 2
MUDA-MUDI SANGAT DIPERLUKAN

2.   Pentingkah mereka?
            Umur dan juga pengalaman yang sangat sedikit menyebabkan mereka kadang-kadang dipandang sebelah mata oleh sesetengah orang dewasa. Lebih teruk lagi mereka sama sekali tidak dilibatkan dalam mana-mana aktiviti atau program, dengan alasan “mereka tidak tahu apa-apa”. Pemikiran sesetengah orang dewasa yang begitu sempit telah menghalang muda-mudi untuk berkembang dan meningkatkan bakat yang ada pada mereka.
            Tidak dinafikan banyak gereja buta tentang hal ini, bagi mereka pengurusan gereja harus dikendalikan sepenuhnya oleh orang dewasa. Namun, tindakan seperti ini telah membunuh minat Muda-Mudi untuk berbakti kepada gereja dan terlebih dari itu mengabdi kepada Tuhan. Kemungkinan besar sesetengah gereja atau jemaat berfikir bahawa golongan ini tidak penting tetapi tegasnya di sini golongan inilah aset utama sesebuah gereja/jemaat yang tidak ternilai. Hal ini kerana suatu hari nanti merekalah yang akan meneruskan pelayanan ini. Merekalah yang akan menggantikan pemimpin-pemimpin gereja yang ada sekarang.
            Justru itu, mereka perlu dilatih dan keterlibatan mereka dalam Pelayanan sangat diperlukan dan digalakkan.


3.   Apakah Peranan Muda-Mudi Dalam Gereja?
            Meskipun mereka ini tidak memiliki pengalaman yang banyak dalam melayani dan tidak memiliki kefahaman yang luas tentang teologi tetapi mereka masih boleh digunakan untuk membantu pelayanan dalam gereja. Sekiranya diperhatikan dengan teliti sebenarnya pelayanan daripada Muda-Mudi sangat diperlukan dan tidak dinafikan kejayaan sesebuah program gereja adalah berpunca daripada Muda-Mudi.
Berikut merupakan beberapa peranan Muda-Mudi dalam Gereja;
  1. Pelayanan Mimbar
Jika dibandingkan dahulu dan sekarang, pelayanan Muda-Mudi semakin mencabar hal ini mungkin disebabkan oleh peredaran zaman yang kian. Hampir 60% Pelayanan Mimbar dikendalikan oleh Muda-Mudi (muzik, pemimpin pujian dan lain-lain). Jelaslah bahawa Muda-Mudi juga mempunyai peranan yang penting dalam gereja.
  1. Meningkatkan Dana Kewangan Gereja
Persekutuan Belia adalah salah satu badan Pelayanan pengembalaan dalam sesebuah gereja. Persekutuan Belia memiliki carta organisasinya yang tersendiri. Persekutuan ini tidak berjalan dengan sendirian tetapi dipimpin oleh orang-orang yang boleh diharapkan. Kebiasannya Persekutuan Belia akan menyalurkan sumbangan berbentuk kewangan apabila mereka baru sahaja selesai bergotong-royong membersihkan tanah jemaat atau hasil jualan tanaman mereka dan lain-lain. Dengan cara ini sedikit sebanyak mampu meningkatkan dana kewangan sesebuah gereja.
  1. Meningkatkan Kecekapan Pengurusan Gereja
Ramai Muda-Mudi kita sekarang yang berpendidikan tinggi dan ada diantara mereka yang memiliki kelulusan mengajar, pembangunan, pengurusan dan sebagainya. Melalui kemahiran yang mereka miliki ini sedikit sebanyak mampu membantu meningkatkan kecekapan pengurusan gereja.
  1. Membantu Kelancaran Program Gereja
Selalunya program-program yang dianjurkan oleh gereja tidak dapat dilaksanakan dengan baik kerana kurangnya tenaga kerja. Oleh itu, jemaat boleh meminta bantuan daripada Persekutuan Belia.
  1. Tenaga Manusia
Muda-mudi boleh membantu Pelayanan Sekolah Minggu, mengajar muzik, mengajar menyanyi dan sebagainya.
            Sebenarnya ada banyak lagi peranan Belia didalam gereja cuma mereka sahaja yang tidak mahu menonjolkannya. Tambahan pula, mereka tidak mendapat sokongan penuh daripada jemaat dan juga keluarga.



BAB 3
AKTIVITI-AKTIVIT PERSEKUTUAN BELIA PCS RUKOM ULU

1.     Aktiviti Utama Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu
Aktiviti Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu terbahagi kepada dua iaitu aktiviti utama dan aktiviti kecil. Aktiviti utama ini wajib dilaksanakan pada setiap tahun sekiranya tidak dilaksanakan adalah suatu kegagalan bagi Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu. Berikut merupakan aktiviti-aktiviti utama Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu;
  1. Keloring (Carroling)
Sebelum menjelang Hari Natal Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu akan berkeloring. Mengikut kebiasaan mereka akan mengunjungi rumah ke rumah (Kristian sahaja) dan akan menyanyikan lagu Natal. Aktiviti ini wajib dilaksanakan pada setiap tahun pada awal bulan Disember.
            Aktiviti seperti ini sangat sesuai untuk belia kerana ia bukan sahaja membantu belia mengetahui bila kelahiran Tuhan Yesus di dunia ini malah mendidik belia untuk berani menyampaikan Injil itu kepada orang ramai. Selain itu, mental dan fizikal mereka juga dapat dilatih melalui aktiviti ini.
  1. Kebangkitan Kebangunan Rohani (KKR)
Kebangkitan Kebangunan Rohani (KKR) akan dilaksanakan pada setiap tahun selalunya akan diadakan pada pertengahan atau penghujung tahun. Aktiviti ini sangat sesuai untuk belia. Melalui aktiviti ini iman para belia dapat disegarkan dan dapat dibakar semula. Tidak dinafikan keinginan untuk melayani semakin berkobar-kobar khususnya dalam kalangan belia.
  1. Kebaktian Belia
Setiap hari sabtu belia PCS Rukom Ulu akan mengadakan kebaktian di gereja. Pengisian mereka dalam kebaktian ini adalah sembahyang, mendengar firman Tuhan dan shareing. Selalunya selepas sahaja mereka selesai kebaktian mereka akan membersihkan gereja dan  meneruskan latihan untuk ibadah umum.
            Aktiviti ini sangat sesuai untuk belia kerana mereka bukan sahaja dapat bersekutu bersama-sama tetapi kesatuan juga dapat dipupuk. Selain itu, belia juga di didik supaya melayani dengan sungguh-sungguh dan pelayanan bukan lah suatu beban tetapi adalah penghormatan Bapa yang di Surga, Amin!
  1. Hari Belia/Kem Belia
Hari Belia merupakan antara aktiviti utama dan wajib dilaksanakan pada setiap tahun. Hari Belia akan dilaksanakan pada bulan September. Pengisian dalam program ini adalah ia lebih bersifat “Muda-Mudi”. Pada waktu pagi mereka akan bersukan manakalah pada sebelah malam pula mereka akan sembahyang. Setelah selesai sembahyang mereka akan adakan pertandingan menyanyi (rohani) solo.
            Namun begitu, Hari Belia adalah Plan B. Plan A mereka adalah mengadakan Kem Belia tetapi pelaksanaan ini bergantung kepada kewangan persekutuan dan juga kewangan gereja. Sekiranya bajet mencukupi mereka akan adakan Kem Belia tetapi sekiranya tidak mencukupi makan Hari Belia yang akan mereka laksanakan.
            Bagi saya aktiviti seperti ini sangat sesuai untuk belia. Aktiviti seperti ini dapat menghilangkan tekanan belia dan juga mampu mengubah fikiran mereka bahawa Melayani Tuhan bukanlah perkara yang membosankan. Menurut pakar psikologi mengatakan bahawa Belia atau Muda-Mudi lebih suka perkara-perkara yang bersifat praktikal daripada teori. Oleh itu, ada baiknya kalau aktiviti teori dan praktikal di seimbangkan.
2.     Aktiviti Kecil Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu
Aktiviti ini dipanggil aktiviti kecil kerana pelaksanaannya yang tidak menentu, kadang-kala dapat dilaksanakan dan kadang-kala tidak dapat dilaksanakan. Aktiviti Kecil juga terbahagi kepada dua iaitu bersifat rohani dan bukan rohani. Berikut merupakan aktiviti kecil Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu;
  1. Aktiviti Kecil Bersifat Rohani
                        I.         Seminar Liturgi dan Penyembahan
Pelaksanaan seminar ini tidak menentu kadang-kadang dua tahun sekali baru dilaksanakan (mengikut keperluan). Aktiviti seperti ini sangat sesuai untuk belia, sedikit sebanyak memberi pengetahuan kepada mereka bagaimana menghidupkan suasana ibadah umum nanti.
  1. Aktiviti Kecil Bukan Rohani
                        I.         Bekerja di kebun jemaat
Aktiviti ini dilaksanakan bertujuan untuk menambahkan duit belia. Duit tersebut akan digunakan untuk pelaksanaan aktiviti utama seperti kem belia dan keperluan sewaktu keroling nanti. Aktiviti seperti ini dapat mendidik belia untuk berdikari iaitu tidak hanya bergantung kepada gereja sahaja.

Kesimpulan
Teori dan praktikal perlulah diseimbangkan dalam Persekutuan Belia. Perkara yang berulang-ulang akan membuatkan Belia cepat bosan. Oleh itu, ketua belia dan juga jemaat perlu kreatif dalam mengatur aktiviti tahunan persekutuan ini.

  
BAB 4
CADANGAN UNTUK PENAMBAHBAIKKAN

1.   Cadangan Dari Saya
Setelah menyelidiki aktiviti Persekutuan Belia PCS Rukom Ulu rupanya ada banyak lagi perkara yang sepatutnya ada tetapi tidak termasuk dalam aktiviti persekutuan ini. Berikut merupakan cadangan aktiviti yang perlu dilaksanakan/dilakukan;
  1. Bible Study
Sekiranya diperhatikan dengan teliti ada ramai belia kita yang “lari daripada landasan” yang telah ditetapkan. Perkara yang dilarang dan dibenci oleh Allah mereka lakukan. Mereka mulai bercinta dengan orang yang tidak seiman, tidak dinafikan ramai belia kita yang meninggalkan Yesus hanya kerana mengikuti orang yang dicintai (tidak seiman).
            Saya berpendapat bahawa antara faktor utama berlakunya kes seperti ini adalah disebabkan kurangnya didikan agama dalam kalangan belia kita. Oleh itu, bagi menangani masalah ini didikan agama yang tegas perlulah ditekankan kepada belia. Aktiviti/Program ini dikenali sebagai Bible Study. Melalui program ini sedikit sebanyak mampu membantu mengurangkan masalah yang berlaku.
  1. Kelas Muzik
Sekitar tahun 90-an PCS Rukom Ulu dibanjiri belia yang berbakat dalam bermain muzik. Namun menjelang tahun 2000 sehinggalah sekarang PCS Rukom Ulu kehilangan sejumlah besar pelayanan muzik. Semua belia yang boleh bermain muzik merantau ke luar negara kerana berkerja dan bersekolah.
            Oleh itu, kelas muzik setiap minggu perlulah diwujudkan. Perkara ini bukan sahaja mampu memantapkan pelayanan muzik dalam gereja malah mampu menarik para belia lelaki khususnya untuk beribadah seterusnya melibatkann diri dalam apa pun pelayanan gereja.
  1. Aktiviti Makan Bersama (Potluck)
Aktiviti Makan Bersama adalah suatu proses penginjilan yang pernah Yesus lakukan 2000 tahun dahulu. Aktiviti makan bersama mampu mengeratkan hubungan antara sesama. Dalam masa ini juga pastor/gembala/ketua belia boleh mengambil kesempatan untuk memberitakan Injil kepada belia yang jarang beribadah. Aktiviti ini boleh dilakukan sebulan sekali.
  1. Picnic
Sekiranya aktiviti persekutuan belia hanya tertumpu indoor sahaja itu sangat membosankan bagi mereka. Bagi mengelakkan daripada belia cepat bosan aktiviti persekutuan belia perlulah dipelbagaikan contohnya mengadakan Picnic setahun sekali. Pengisian dalam Picnic tersebut perlulah bersifat rohani maksudnya bukan sekadar bersukaria sahaja tetapi adanya sembahyang bersama. Aktiviti ini mampu membuka minda para belia bahawa pelayanan itu bukanlah suatu perkara yang membosankan tetapi ianya sangat menyeronokkan.


  1. Belajar Lagu
Hampir semua belia PCS Rukom Ulu tidak tahu menyanyikan lagu-lagu yang ada dalam Longoi Dot Ulun Kristian. Bagi mengelakkan lagu-lagu ini ditelan zaman begitu sahaja ada baiknya kalau mereka adakan kelas belajar lagu.
           


KESIMPULAN
            “Belia Generasi Penerus Gereja” begitulah bunyi cogan kata Persekutuan Belia Protestant Church in Sabah, dimana PCS meletakkan Belia adalah generasi yang akan meneruskan pelayanan gereja PCS. Melalui cogan kata ini kita boleh dapati bahawa belia sangat penting dan mereka merupakan aset yang tidak ternilai bagi PCS dan juga jemaat.
            Pastor/Gembala/Pendeta dan jemaat perlu berganding bahu dalam mendidik dan melatih belia agar mereka tidak mudah terjerumus dalam perkara-perkara yang boleh merosakkan kehidupan mereka. Jangan pernah putuskan harapan mereka, sokonglah mereka apabila mereka memerlukan sokongan. Tuhan memberkati, Amin!


 
Gambar 1: Kem Belia PCS Rukom Ulu


Gambar 1: Kem Belia PCS Rukom Ulu. Amazing Race berlangsung

Gambar 1: Kem Belia  PCS Rukom, mereka sedang membentangkan topik tugasan mereka

Kem Belia Ibadah terakhir - perpisahan


 
Gambar 2: Belia membantu pelaksanaan program Gereja. Hari Kanak-Kanak

Peserta Hari Kanak-Kanak

Peserta Hari Kanak-Kanak

pertandingan melukis dan mewarna hari kanak-kanak




video Youth Camp PCS Rukom Ulu





              [1]Www.belia.org

              [2]Majalah PCS 50, 1952-2002 (Kudat: Gereja Protestan Di Sabah Taman Gereja PCS, 2002), 97.


              [4]Lerrymond Moguntal,, AJK Belia Cawangan Rinasuk, wawancara oleh penulis, 4 September 2016.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sejarah singkat penubuhan gereja PCS Senai Johor Bahru

Sejarah Penubuhan Persekutuan Belia Pusat