Sejarah Penubuhan Persekutuan Belia Pusat



1.   Sejarah Dan Perkembangan Persekutuan Belia Protestant Church in Sabah (PCS)[1], Dari Tahun 1970 Hingga 2002[2]

            Persekutuan Belia PCS Pusat telah ditubuhkan pada pertengahan tahun 1976. Pada mulanya ia hanya dikenali sebagai “Badan Belia Pusat”. Namun sebelum penubuhan badan ini, sebenarnya ada beberapa parokih yang terdahulu menubuhkan Badan/Persekutuan ini, iaitu parokih Bandar Kudat/asrama (sekitar tahun 1970), Parokih Dandun (1974), dan Parokih Tinangol (1974). Selepas penubuhan diperingkat pusat, ia diikuti pula oleh Parokih Sikuati (1976), Parokih Batition (13.6.1977), Parokih Bombong 4 (21.10.1977), Parokih Pantai dan Kudat Selatan.

            Pada awal penubuhan persekutuan ini, aktiviti Belia sangat ringkas sesuai dengan keperluan dan keupayaan waktu itu. Aktiviti utama adalah belajar lagu-lagu rohani dan pembacaan ayat-ayat Alkitab sebelum kebaktian minggu bermula. Aktiviti ini dimulakan di Taman Gereja Pusat oleh para penghuni asrama yang kemudiannya dikembangkan ke jemaat-jemaat PCS oleh mereka yang menyertai rombongan kebaktian hari Minggu bersama para pendeta/pelayan firman. Selain daripada itu, gabungan kebaktian bersama belia BCCM juga diadakan. Para Belia PCS dan BCCM mengadakan persekutuan kebaktian ini secara bergiliran di gereja.

            Tidak lama selepas itu, rangkaian Persekutua Belia PCS dan bidang aktivitinya semakin kompleks. Sebelum ini, badan/jawatankuasa persekutuan hanya terdapat di peringkat pusat dan parokih tetapi lama-kelamaan menyeluruh ke peringkat lebih kecil iaitu peringkat jemaat. Pada masa itulah badan/jawatankuasa Belia Pusat mewujudkan beberapa cabang pelayanan iaitu agama, lagu pujian, sukan, kebudayaan dan bahasa

            Konvensyen pertama Persekutuan Belia Pusat telah diadakan pada hujung tahun 1976. Ia dihadiri oleh belia dari seluruh PCS terutamanya beberapa parokih terdahulu menubuhkan persekutuan belia ini. Pada waktu itu, Pengerusi Belia Pusat digelar sebagai Presiden Belia. Selain itu, umur yang ditetapkan dan diakui sebagai belia tidak mengira jantina ialah antara 12-35 tahun. Namun, pada tahun 1996 perwakilan Konvensyen Umum telah meluluskan agar umur maksima dinaikkan sehingga 40 tahun. Selepas itu, pada tahun 2002 perwakilan Perhimpunan Agung Belia PCS sekali lagi bersetuju agar umur maksima belia dinaikkan ke 45 tahun. Kenaikan umur maksima ini adalah didasarkan kepada situasi dan keperluan gereja masa kini.

            Dari awal penubuhan tahun 70-an dibandingkan sekarang ada banyak perubahan dan juga perkembangan yang berlaku antaranya adalah sistem pentadbiran. Jika dahulu sistem pentadbirannya begitu ringkas tetapi kini lebih menyeluruh dan bertenaga. Ini termasuklah pengwujudan unit-unit yang lebih lengkap seperti Unit Oikumene dan Protokol, Unit Pembangunan Staff dan Keahlian Belia, Unit Pengurusan dan Pentadbiran, Unit Penerbitan dan Dokumentasi, Unit Pengurusan Akaun, Unit Kerohanian, Unit Pendidikan Alkitab dan Pelayanan Remaja, Unit Perancangan Ekonomi, Unit Sukan Rekreasi, Unit Pendidikan Akademik dan Pembangunan Sumber Manusia dan Unit Data Maklumat. Setiap unit ini diletak dibawah seseorang ahli dalam Jawatankuasa Belia Pusat (EXCO). Program Belia Pusat dirancang menurut unit-unit ini. Walau bagaimanapun pengwujudan unit-unit ini akan sentiasa mengikut keperluan gereja dan kelompok sasaran khususnya PCS Pusat, Persekutuan PCS Wilayah (4 Wilayah), Persekutuan Belia PCS Parokih (22 Parokih), Persekutuan Belia PCS Cawangan (22 Parokih) dan Persekutuan Belia PCS (332 jemaat). Setiap persekutuan ini adalah dikenali oleh satu jawatankuasa yang terdiri daripada sukarelawan-sukarelawati dalam gereja.

            Dalam Konvensyen Belia PCS kali ke-12 yang berlangsung pada 11-13 Mei 1998, satu lagi ketetapan telah diluluskan oleh perwakilan konvensyen, iaitu 2 perhimpunan utama yang sedia ada harus diberi bidang kuasa atau fungsi masing-masing. Perhimpunan tersebut ialah “Konvensyen Umum” yang berorientasikan pemantapan rohani belia dan “Perhimpunan Agung” (sebelum ini disebut “Mesyuarat Agung”) yang akan menentukan hala tuju Persekutuan Belia PCS atau berorientasi pentadbiran. Langkah ini bertujuan agar sesuatu perhimpunan yang diadakan oleh Persekutuan Belia Pusat lebih terarah.

            Ekoran daripada itu, beberapa pindaan Perlembagaan Belia (kini disebut “Peraturan Belia”) telah dibuat. Sementara itu Perhimpunan Agung yang dimaksudkan telah berlangsung sebanyak 2 kali. Perhimpunan Agung ini dihadiri oleh para pemimpin belia mulai dari pusat, wilayah, parokih dan jemaat.

            Hasil rayuan para pemimpin belia dan keprihatin EXCO PCS, hasrat Belia PCS sejak tahun 1992 untuk mendapatkan pekerjaan penuh masa hampir berjaya setelah EXCO PCS bersetuju menempatkan seorang “Pengarah Belia” pada tahun 2000 sebagai tenaga tambahan kepada jawatankuasa Belia Pusat dalam pelayanan Belia PCS yang kini semakin mencabar, rumit, kompleks dan tersebar luas di seluruh Malaysia. Kini perwakilan Perhimpunan Agung Belia PCS yang kedua sekali lagi membuatkan resolusi bahawa seorang pekerja penuh masa harus duduk dalam Persekutuan Belia PCS agar pelayanan kepada golongan ini lebih berkesan. Hal ini sedang diusahakan oleh pihak pentadbiran belia pusat yang ada sekarang.

            Dalam dekad 21 ini, sikap golongan belia terhadap gereja nampaknya semakin positif dan bertanggungjawab serta berkerinduan besar kepada Allah. Bahkan kita dapat saksikan suatu kesedaran tinggi atau kebangunan rohani yang meluap. Walau bagaimanapun cabaran terbesar kepada golongan ini ialah pengaruh globalisasi dan ternyata memang ramai yang jatuh. Persekutuan Belia PCS melihat fenomena ini sebagai suatu hal yang sangat serius dan perlu dimenangkan. Adalah menjadi harapan yang besar agar cogan kata “Belia Generasi Penerus Gereja” akan menjadi kenyataan yang cemerlang. Amin!





              [1]Majalah PCS 50, 1952-2002 (Kudat: Gereja Protestan Di Sabah Taman Gereja PCS, 2002), 97.


Gembalaku Menulis
fb.me/myjourney2019

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sejarah singkat penubuhan gereja PCS Senai Johor Bahru

Ringkas-Penubuhan Belia PCS Jemaat Rukom Ulu